|
Dato' Onn bin Jaafar
telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Persekutuan sebagai orang pertama
menerajui Jawatankuasa Khas RIDA dan menjalankan penyelidikan secara
menyeluruh mengenai masa depan dan pembangunan masyarakat luar bandar.
Langkah pertama Dato' Onn ialah dengan mengadakan lawatan ke Ceylon pada
awal tahun 1951 untuk mempelajari tatacara rancangan luar bandar yang
diamalkan oleh negara tersebut. Sekembalinya Dato' Onn dari lawatan tersebut,
beliau telah mengemukakan satu kertas laporan kepada 'Federal Legistive
Council' yang dinamakan 'Paper No. 10/1951'. Kandungan kertas
tersebut merujuk kepada asas penubuhan dan pembentukan RIDA sebagai sebuah
agensi kerajaan yang telah digariskan semasa pentadbiran British di Malaya.
Seksyen 5, kertas berkenaan telah menyatakan seperti berikut,
'In
order to be able to utilize the resources of government and to stimulate the
interest and obtain the support of the people in the kampongs, it is
essential that every effort be made to bring the people closer to the
government, and train them to bring their needs before the government
through a systematic chanel,initiating from the kampongs and moving
progressively to RIDA as the appropriate instrument set up for the purpose'. Manakala seksyen 8 (d) menyatakan seperti berikut,
'training for and
encouragement of schemes for social improvement such as home craft, mother
craft, hygiene, handicrafts, etc.' Sedksyen 8 (f) pula menyatakan seperti berikut,
'the training of rural development officers and kampongs
leaders'.
 |
Matlamat penubuhan RIDA juga selaras dengan cadangan menyediakan latihan
dan kajian formal secara menyeluruh kepada rakyat luar bandar secara lebih
sistematik. Pelaksanaan progaram latihan peringkat awal ialah melatih
kakitangan RIDA terlebih dahulu supaya menjadi tenaga mahir untuk
menentujayakan matlamat dan halatuju RIDA. |
Satu lagi bahagian ialah yang
dinamakan Bahagian Latihan Khusus akan turut disediakan bagi mereka yang
tidak dapat memenuhi sumbangan langsung ke arah merealisasikan rancanga RIDA
dengan cara menawarkan kursus-kursus persediaan untuk keperluan tenaga kerja
semasaCadangan dan perancangan yang dikemukan oleh Dato' Onn untuk mewujudkan
latihan formal yang lebih sistematik ini akhirnya membawa kepada tertubuhnya
sebuah Dewan Latehan RIDA pada tahun 1956. Pada peringkat awal, Dewan
Latehan RIDA ini menawarkan Kursus Persediaan kepada golongan belia dan luar
bandar khususnya yang mengikuti aliran Inggeris. Buat pertama kali, Dewan
LAtehan RIDA telah menawarkan dua kursus iaitu satu kursus jangka panjang
untuk kelas persediaan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan
'London Chamber of Commerce (LCL'. Manakala satu lagi kursus jangka
pendek yang menawarkan kursus selama 18 hari mengenai 'book keeping and
commercial practise' untuk tujuan perniagaan orang Melayu. satu lagi
tambahan kursus ialah untuk melatih pegawai-pegawai RIDA itu sendiri sebagai
menyediakan tenaga mahir.
|
Penubuhan
Dewan Latehan RIDA adalah merupakan satu kejayaan besar hasil lawatan
pengerusi pertamanya iaitu Dato' Onn bin Jaafar ke Ceylon (sekarang Sri
Lanka) pada tahun 1951. Dalam tahun 1956 juga, sebuah Unit Latihan telah
dimulakan secara rasminya yang diketuai oleh Encik Abdul Samad bin Ibrahim.
Unit ini telah mewujudkan sebuah Taman Asuhan RIDA di Kuala Lumpur dan Dewan
Latehan RIDA di Petaling Jaya. |
 |
Dewan Latehan RIDA telah memulakan operasi
pada tahun yang sama dan telah diletakkan dibawah pengetua pertamanya iaitu
Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Al- Hadi. Dewan ini telah dibuka secara rasminya pada 14 Februari 1957 oleh Menteri
Perdagangan dan Industri iaitu Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato' Abdul
Rahman. Pada peringkat permulaan, Dewan Latehan RIDA telah menawarkan
beberapa kursus asas terutamanya berhubung dengan perniagaan. Diikuti pula
beberapa tahun kemudiaannya, beberapa penambahan kursus telah dilakukan dan
telah dinaiktarafkan terutamanya dalam tahun 1960. Tiga kursus baru telah
diperkenalkan iaitu Stenography, Secretaryship (ACS) dan
Accountancy (Australia Society of Accountants).Dewan Latehan RIDA mula
memperkenalkan kursus berbentuk profesional iaitu Pengurusan Awam Perniagaan
pada tahun 1962. Peperiksaan bagi kursus ini akan disediakan dan
dikendalikan oleh 'British Institute of Management' mulai tahun 1964.
Acara Konvokesyen buat pertama kali telah diadakan dan penyampaian sijil
kepada kira-kira 50 orang graduan telah disempurnakan oleh Allahyarham Tun
Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam pada itu, sekitar 5-7
Jun 1965, satu persidangan yang dipanggil Kongres Ekonomi Bumiputra telah
diadakan di Kuala Lumpur. Sepanjang kongres tersebut diadakan, sejumlah 68
resolusi telah berjaya dihasilkan. Daripada 68 resolusi tersebut, sebanyak
22 resolusi adalah berhubung dengan penilaian semula beberapa peraturan dan
objektif RIDA. Hasil daripada perbahasan yang menyeluruh, akhirnya satu
keputusan telah dibuat iaitu nama RIDA telah dipersetujui ditukar kepada
nama Majlis Amanah Rakyat atau lebih dikenali dengan panggilan MARA.
Berikutan penukaran nama tersebut, akhirnya pada Disember 1965, Akta Majlis
Amanah Rakyat telah digubal, dibahas dan diluluskan oleh Parlimen Malaysia.
Apabila tertubuhnya organisasi baru, Dewan Latehan RIDA turut ditukar
panggilannya kepada Maktab MARA. Lanjutan daripada itu, pada tahun 1966,
kerajaan Malaysia telah mengiktiraf 'British Institute of Management'
menjadi pemeriksa luar kepada Maktab MARA. Berikutan perkembangan yang
berterusan, beberapa langkah kerjasama telah dibuat dengan 'Ealing
Technical College' di London sebagai pengiktirafan kursus-kursus kepada
yang diajar dan juga untuk tujuan keseragaman Diploma.
Pada 14 Oktober 1967, acara perletakan batu asas telah disempurnakan oleh
Tun Abdul Razak di Shah Alam sebagai tanda permulaan kampus baru Maktab MARA
di kawasan seluas kira-kira 300 ekar. Pembinaan bangunan baru telah
dimulakan pada awal tahun 1968. Sekali lagi pertukaran nama telah dilakukan,
dari Maktab MARA kepada
Institut Teknologi MARA atau lebih dikenali dengan ITM. Pada pertengahan
tahun 1972, kampus induk di Shah Alam dibuka dengan rasminya. Pada akhir
tahun 1970-an, ITM telah muncul sebagai sebuah badan persendirian dan tidak
lagi diletakkan di bawah kawalan Bahagian Latehan MARA. Ia diletakkan terus
di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Semenjak dari itu, ITM terus membangun dan berjaya muncul sebagai salah
sebuah institusi pendidikan tinggi yang utama di negara ini. Dalam bulan Jun
1976, Akta ITM telah diluluskan ' oleh Parlimen dan selepas itu, ITM telah
ditadbir terus di bawah Kementerian Pendidikan. Sebuah Majlis yang lebih
berkuasa diwujudkan menggantikan 'Governing Council sebelum ini. Pada
18 November 1980, Mesyuarat Majlis ITM ke-27 telah diadakan dan satu
ketetapan telah dibuat iaitu tarikh penubuhan ITM ialah tahun 1956 mengambil
sempena objektif asal penubuhan Dewan Latehan RIDA.
Namun demikian, didalam draf cadangan asal penubuhan RIDA pada tahun
1951, telah dinyatakan hasrat untuk mewujudkan program latihan formal secara
lebih tersusun. Ini bermakna, penubuhan Dewan Latehan RIDA bukanlah dibina
secara mendadak pada tahun 1956, tetapi ianya telah melalui perancangan yang
rapi sejak tahun 1951 lagi iaitu seangkatan dengan cadangan penubuhan RIDA.
Akta ITM (pindaan 1996) telah memberi peluang kepada institusi tersebut
untuk duduk setanding dengan beberapa institusi pendidikan tinggi di negara
ini. Jesteru itu, beberapa perubahan aspek utama ITM telah digubal. SEbagai
contonya, Badan Pentadbir dan Penyelaras iaitu Majlis ITM diganti kan dengan
panggilan Lembaga Pengarah dengan melibatkan sektor swasta secara lebih
besar dan menyeluruh. Walaupun demikian, nama Institut Teknologi MARA masuh
kekal sehingga 26 Ogos 1999.
Akhirnya, satu perjumpaan
secara besar-besaran telah diatur yang melibatkan semua pentadbir,
pelajar-pelajar dan bekas pelajar telah diadakan di Stadium Malawati, Shah
Alam pada 26 Ogos 1999. Pada ketika itu, YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk
Seri Dr. Mahathir Mohamad telah mengumumkan bahawa ITM akan dipanggil
Universiti Teknologi MARA (UiTM). Berikutan dengan pengumuman ini, beberapa
bulan kemudian Akta ITM (paindaan 2000) telah diluluskan oleh Dewan Rakyat
iaitu pada 25 Februari 2000 dan diikuti pula oleh Dewan Negara pada 8 Mei
2000. Nama UiTM ini berkuatkuasa pada tarikh pengumuman yang dibuat oleh
Perdana Menteri. Menurut pindaan akta baru ini, terdapat seksyen yang menyatakan bahawa
Yang di-Pertuan Agong Malaysia secara automatik dilantik menjadi Canselor
Universiti Teknologi MARA dan juga Pro-Canselor turut diletakkan di bawah
baginda.
 |
Jawatan Rektor telah diubah menjadi Naib Canselor. Kebanyakan
pindaan-pindaan terhadap sub seksyen akta institusi ini telah dilakukan
sejak tahun 1996 lagi. Akta tahun 2000 hanyalah untuk melabelkan nama dari
institut kepada Universiti. Setelah hampir setengah abad berlalu,
institusi ini berjaya melalui pelbagai cabaran serta beberapa perubahan
dan pertukaran nama namun matlamat penubuhannya masih kekal ke hari ini
iaitu untuk mempertingkatkan dan menentujamin keutuhan status
sosio-ekonomi bumiputra. |
|
perletakan batu asas ITM |
perubahan dan pertukaran
nama iaitu bermula dari Dewan Latehan RIDA, Maktab MARA, Institut Teknologi
MARA dan akhinya Universiti Teknologi MARA, namun opjektif dan matlamat
penubuhannya masih kekal ke hari ini iaitu untuk mempertingkat dan
menentujamin keutuhan status sosioekonomi bumiputera.
Kini UiTM memperluaskan
cawangan-cawangannya ke seluruh negeri di Malaysia. Dalam masa yang sama,'
jumlah kampus akan ditambah dan dibangunkan dalam masa yang terdekat.
Matlamat asas pembinaan kampus cawangan ini adalah bertujuan memudahkan
pelajar bumiputera di seluruh negara untuk sama-sama merebut peluang
meniknmati tahap pendidikan tinggi di negara ini. Di samping itu juga, bagi
mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi boleh
meneruskan di UiTM sama ada melalui pendidikan separuh masa atau sambilan
tanpa perlu mengambil perjalanan yang jauh kerana pembinaan kampus cawangan
berdekatan dengan tempat tinggal dan tempat kerja.
UiTM dulu dan kini, usia yang menjangkau hampir 50 tahun sudah cukup
matang untuk terus unggul' dan mampu melahirkan penuntut yang berkualiti
serta dapat bersaing di pasaran apabila tamat pengajian. Menyedari hakikat
tersebut, Lembaga Pengarah UiTM telah dipelbagaikan termasuk kewangan,
personel, akademik dan pentadbiran demi untuk memastikan kesinambungan
strategi dan keputusan polisi dapat dikekalkan. Jesteru itu, diharaokan UiTM
tetap mampu mempertahankan objektif asal penubuhannya dan dapat mengekalkan
kemantapan, kejayaan serta kecemerlangan sebagai sebuah institusi pendidikan
yang dapat melahirkan graduan berkualiti demi untuk memenuhi keperluan
sebuah negara seperti Malaysia yang mula memasuki era globalisasi.
|